KOTA BHARU: Semua projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan di daerah ini wajib siap dalam tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kesemua projek itu diberikan tempoh masa dan peruntukan berkenaan tidak boleh dibawa ke tahun depan.
“Kita mahu rakyat boleh merasa, menghidu dan menyentuh perubahan yang sedang berlaku sekarang ini. Secara dasarnya saya berpuas hati dengan perjalanan semua projek dilaksanakan, tetapi sudah tentu masih ada ruang untuk ditambah baik,” katanya pselepas lawatan kerja ke program baik pulih rumah melalui Program Sentuhan Kasih 3.0 di Kampung Penambang, di sini hari ini.
Kor Ming berkata, KPKT meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM146.22 juta untuk Kelantan bagi pelaksanaan 24 projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih.
Katanya, kesemua projek berkenaan diluluskan di bawah Program KPKT Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kesemua projek akan dilaksanakan melalui kawal selia lapan jabatan dan agensi di bawah KPKT.
“Peruntukan terbesar untuk Kelantan pada tahun ini adalah melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad berjumlah RM69.37 juta bagi pembinaan 855 unit Rumah Mesra Rakyat di 14 kawasan Parlimen antaranya Jeli, Tumpat, Machang, Pasir Mas, Gua Musang dan Kota Bharu.
“Peruntukan RM30.58 juta disediakan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan bagi pelaksanaan 95 projek pembangunan dan baik pulih cerun oleh pihak berkuasa tempatan, pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh dan Pasar Besar Kuala Krai termaduk pembinaan gerai dan kemudahan awam di Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu,” ujarnya. – UTUSAN










