TANJUNG MALIM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkasa program kesedaran dan ujian Saringan Kanser Serviks (HPV DNA) yang melibatkan golongan wanita berumur 30 tahun ke atas di kawasan pedalaman terutamanya di perkampungan Orang Asli.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ujian itu bersifat kritikal selain diadakan kepada wanita secara percuma bagi membantu mereka memerangi gejala penyakit kanser serviks.
“Kami memberikan perkhidmatan itu percuma yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Sekiranya mereka (wanita masyarakat Orang Asli) pergi melakukan ujian itu di klinik swasta kosnya sekitar RM300.
“Mungkin sesetengah mereka pernah melakukan ujian tersebut atau tidak pernah melakukannya. Kami tiada datanya.
“KPWKM boleh bekerjasama rapat dengan Tok Batin atau pemimpin masyarakat setempat bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program CSR Teknikal dan Komuniti Pos Tenau: Sentuhan Ilmu dan Khidmat Pakar anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, Ulu Slim, Slim River di sini hari ini.
Program tanggungjawab sosial korporat itu melibatkan 350 orang komuniti Pos Tenau dan 56 orang murid.
Ia bertujuan menaik taraf kemudahan asas di perkampungan Orang Asli itu terutamanya aspek pencahayaan serta kemudahan elektrik.
Tambah Noraini, kementeriannya turut mempunyai kenderaan khas yang membolehkan kakitangannya melakukan ujian HPV DNA kepada wanita yang layak di perkampungan Orang Asli.
“Memang kita akan laksanakan dan terdapat keperluan untuk menjelajah dan mendekati terutamanya mereka yang berada di luar ataupun di kawasan pendalaman termasuk masyarakat Orang Asli,,” katanya. – UTUSAN