JOHOR BAHRU: Sebuah premis yang memproses dan membina struktur bahan petrokimia terbesar di negara ini disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, seramai 255 PATI ditahan dalam serbuan pihaknya ke atas premis berkenaan di Pasir Gudang, dekat sini kelmarin selepas menerima aduan orang ramai.
“Seramai 664 individu termasuk warga tempatan dan warga asing telah diperiksa, dengan seramai 255 warga asing ditahan melibatkan rakyat China, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Nepal.
“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pengurus dan pegawai sumber manusia di tapak projek tersebut. Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 63 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Enam notis untuk hadir turut dikeluarkan kepada pihak yang terlibat dalam Op Mahir tersebut bagi membantu siasatan.
“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(7)(a) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN











