KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang dengan menahan tiga individu termasuk warga Indonesia dalam serbuan berasingan, minggu lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 61 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu yang turut membongkar stor simpanan syabu bernilai lebih RM4.66 juta di Puncak Jalil, Serdang dekat sini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira 5.40 petang di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kuchai Lama yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.
Katanya, pemeriksaan dalam but belakang kereta suspek, polis menemui 10 bungkusan plastik berisi syabu seberat 10.34 kilogram.
“Dua lagi lelaki termasuk ketua sindiket masing-masing warga tempatan berusia 61 tahun dan warga Indonesia berusia 34 tahun turut ditahan di lokasi sama.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, polis melakukan serbuan susulan di sebuah rumah teres di Seri Kembangan kemudian menemukan 122 bungkusan syabu seberat 135.34 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah dirampas dalam operasi itu adalah 145.68 kilogram, dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 728,400 penagih dengan nilai pasaran dianggarkan melebihi RM4.66 juta.
Jelasnya, siasatan mendapati sindiket terbabit yang mula bergiat aktif sejak Oktober lalu menggunakan rumah teres berpagar di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
“Sindiket terbabit dipercayai mula bergiat aktif sejak Mei lalu dan dua suspek warga tempatan yang ditahan disyaki berperanan sebagai dalang utama dan penghantar.
“Bekalan dadah berkenaan dipercayai disasarkan untuk edaran di Lembah Klang dan sebahagiannya dihantar ke luar negara, termasuk Indonesia,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan jaringan sindiket ini termasuk peranan lelaki warga Indonesia yang ditahan.
“Ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah manakala semakan rekod lampau menunjukkan salah seorang daripadanya dikehendaki polis berhubung kesalahan dadah sebelum ini,” katanya yang memberitahu ketiga-tiga suspek kini direman antara enam hingga tujuh hari bermula 25 Julai lalu bagi membantu siasatan. – UTUSAN










