KUALA LUMPUR: Sebanyak empat laporan diterima pihak polis berkaitan Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, empat laporan tersebut membabitkan satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) manakala tiga lagi berkaitan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).
“Pada hari terbabit (Sabtu), kami memang tidak benarkan mana-mana dron diterbangkan jadi tiga laporan polis diterima tersebut dirujuk ke CAAM.
“Satu lagi kes apabila pihak polis mengesan dan ada mengambil rakaman video menunjukkan satu patung mirip Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disebat di perkarangan Masjid Negara.
“Kami justeru membuka siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, kes tersebut rujuk ke USJT untuk siasatan lanjut.
“Seperti mana kami jelaskan tempoh hari, himpunan itu dibenarkan undang-undang dan sekiranya ada salah laku yang melanggar undang-undang mana-mana akta, kami ambil tindakan,” katanya.
Ketika ditanya berhubung dakwaan penyebaran risalah berkaitan kegiatan ekstremisme ketika himpunan berlangsung, Mohamed Usuf berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut.
Sabtu lalu, media melaporkan polis akan meneliti sekiranya terdapat ucapan berbaur isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta hasutan dalam Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini. – UTUSAN








