KUALA LUMPUR: Polis menyerbu premis di tingkat 23 sebuah bangunan di Jalan Kia Peng di sini yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan promosi aktiviti perjudian semalam.
Menerusi serbuan Op Dadu kira-kira pukul 1 petang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, seramai 13 individu ditahan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, mereka ditahan terdiri dua warga China dan 11 tempatan.
Menurutnya, pelbagai barangan antaranya 14 set peralatan komputer, dua komputer riba, dua unit modem serta satu unit router dirampas.
“Siasatan awal mendapati premis dipercayai menjalankan operasi pusat panggilan (calling centre) perjudian online yang menyasarkan pasaran negara di negara jiran,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, sindiket beroperasi sejak April lalu dengan menyewa premis terbabit.
“Individu yang ditangkap dipercayai dibayar gaji sekitar RM3,000 hingga RM4,000,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN









