PN tuntut kerajaan dedah rundingan blok Ambalat

PN tuntut kerajaan dedah rundingan blok Ambalat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tiada seinci pun tanah dalam negara akan dikorbankan dalam rundingan dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menggesa Perdana Menteri untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai apa sahaja persetujuan yang dicapai mengenai perkara tersebut.

“Benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama ini? Apakah terma-terma perjanjian ini? Tidakkah ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?

“Oleh kerana pertikaian mengenai Ambalat melibatkan sempadan negeri Sabah, adakah negeri Sabah telah dirunding sebelum perjanjian pembangunan bersama dipersetujui Malaysia dan Indonesia?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Jun lalu, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk melaksanakan Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement, JDA) di Blok Ambalat.

Namun sehingga kini tiada penjelasan secara terperinci mengenai perjanjian tersebut dibuat oleh kerajaan.

Muhyiddin berkata, kerjasama ekonomi serantau wajar disambut baik, namun sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tegas.

Katanya, ia mesti berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak boleh dalam apa jua bentuk dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan.

“Ambalat telah menjadi titik pertikaian sejak tahun 1979 dan merupakan kawasan yang dituntut secara sah oleh Malaysia. Ia bukan sekadar zon ekonomi berpotensi, tetapi simbol ketegasan kita dalam mempertahankan sempadan maritim.

“Dalam konteks ini, apa-apa pengumuman niat untuk pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, tanpa mandat Parlimen dan tanpa jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh membawa kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia,” ujarnya.

Muhyiddin dalam masa yang sama turut mengingatkan sebarang tindakan yang melanggar hak dan kedaulatan negara boleh dianggap suatu penderhakaan kepada negara.

Beliau juga sekali gus mendesak sebarang kerjasama yang melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.

“Rakyat juga berhak bertanya adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri jika haknya dinafikan? Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut? Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui ‘pengiktirafan tersirat’ dalam perjanjian pembangunan bersama?

“Kita tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya untuk masa depan dan implikasi serius jangka panjang terhadap kedaulatan negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN