KUALA LUMPUR: Program Pusat Mengumpul Sawit (PMS) yang diperkenalkan FELDA dilihat sebagai satu pendekatan mampu mengatasi kemelut yang sekian lama membelenggu peneroka khususnya dalam isu pengurusan hasil, akaun individu dan sistem bayaran yang adil.
Anak peneroka FELDA Chiku 01, Wan Zawawi Wan Zain berkata, PMS perlu dinilai secara objektif kerana menawarkan ruang penyelesaian bukan hanya kepada peneroka yang mengurus kebun secara individu, malah termasuk yang masih di bawah pengurusan FELDA Plantations Management Sdn. Bhd. (FPMSB).
“PMS bukan sekadar pusat pengumpulan, tetapi satu transformasi untuk kembalikan keyakinan peneroka. Selain mampu tingkatkan hasil, PMS juga mampu pulihkan kepercayaan dan kukuhkan semula hubungan antara warga peneroka dan pengurusan FELDA.
“Isu ketiadaan akaun individu telah lama menjadi rungutan peneroka. Ramai daripada mereka terpaksa menumpang akaun rakan untuk menjual hasil sawit ke kilang FGV, atau lebih teruk menjual kepada pembeli luar konon dengan komisen tinggi.
“Malah, ada yang dituduh enggan membayar hutang. Hakikatnya, permohonan akaun individu sudah dibuat sejak lama tapi tidak dilayan. Bila tiada paysheet, mereka tiada pilihan selain menjual hasil keluar,” katanya.
Tambah Wan Zawawi, berdasarkan data seminar FELDA-KPF 2024, ia menunjukkan lebih 15,000 peneroka memilih untuk tidak menghantar hasil ke kilang FGV, antara lain berpunca daripada kelemahan sistem ‘grading’, bayaran tertunda, dan kekurangan tenaga kerja ladang.
Bagaimanapun melalui PMS, hasil akan dikumpulkan secara berpusat, disemak kualitinya (grading), dan peneroka akan menerima bayaran terus ke akaun individu tanpa orang tengah.
“Peneroka tidak lagi perlu menumpang akaun rakan atau menjual kepada pembeli luar yang ambil komisen tinggi. Ini sistem yang lebih telus dan adil. Bayaran pun dibuat terus ke akaun masing-masing.
“PMS juga memberi ruang untuk mereka mula mengurus kebun sendiri dengan paysheet individu. Malah, potongan seperti RM26 satu tan yang dikenakan kepada peneroka FPM diyakini akan dihentikan jika mereka mula menguruskan sendiri kebun masing-masing.
“Langkah membenarkan peneroka FPM mengurus kebun mereka sendiri juga mampu menyelesaikan kebergantungan FELDA kepada buruh asing yang selama ini menjadi isu berpanjangan.
“Sistem seperti KBK boleh diguna semula, dengan FPM bayar upah kepada peneroka yang urus sendiri. Ini beri peluang kepada generasi baharu untuk mengambil alih kebun dan bina masa depan mereka sendiri,” katanya.
Wan Zawawi turut mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menuduh peneroka menjadi punca ketirisan hasil sawit kerana menjual ke luar sistem.
Katanya, tuduhan tersebut tidak adil kerana puncanya bukan pada peneroka, tetapi pada dasar pengurusan yang tidak inklusif.
“Cukuplah menyalahkan peneroka. Berikan mereka akaun individu, perbaiki sistem bayaran dan grading, dan PMS boleh jadi platform penyelesaian. Kita semua perlu main peranan FELDA, KPF, FPM dan juga peneroka sendiri,” katanya lagi.
Dalam hal ini, beliau menggesa agar pelaksanaan PMS dibuat secara inklusif dan sentiasa terbuka kepada maklum balas serta penambahbaikan dari masa ke semasa.
“Saya bukan bercakap untuk kepentingan mana-mana pihak. Saya anak peneroka, saya lihat dan alami sendiri. PMS ada kelemahan, tapi ia langkah penting. Kita tak boleh biar peneroka terus dipinggirkan.
“Kita harus kembali kepada semangat asal penubuhan FELDA, membangunkan tanah demi masa depan rakyat, dan menjadikan hasil peneroka sebagai hak mutlak mereka. Hasil kita, milik kita. Bukan retorik, tapi perjuangan sebenar,” tegasnya.
Untuk rekod, FELDA menyasarkan untuk memperluaskan Model Operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat ke lebih 40 lokasi di seluruh negara.
PMS Bukit Damar juga mengamalkan sistem lebih telus dan sihat dengan tiada unsur penipuan timbang ditambah dengan sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd.
Model ini yang diperkenalkan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) sejak April lalu bukan sekadar berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil, tetapi turut menyasarkan penghapusan ketirisan, peningkatan ketelusan urus niaga, serta jaminan pendapatan yang lebih tinggi kepada peneroka. – UTUSAN