Pilihan raya bukan keutamaan Myanmar - ASEAN

Pilihan raya bukan keutamaan Myanmar – ASEAN

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN menjelaskan pilihan raya di Myanmar bukan keutamaan pada masa ini, sebaliknya memfokuskan kepada usaha menghentikan keganasan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua negara anggota ASEAN dan rakan dialog sependapat bahawa Myanmar perlu mematuhi syarat-syarat yang telah digariskan menerusi Konsensus Lima Perkara.

“Lima perkara itu termasuklah pelaksanaan gencatan senjata, dialog menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta pelantikan utusan khas oleh setiap pengerusi ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, meskipun Myanmar menyatakan hasrat untuk mengadakan pilihan raya, ASEAN tetap menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah memulihkan keamanan dan memastikan kestabilan dicapai terlebih dahulu.

“Itu bukan keutamaan buat masa ini. Keutamaan sekarang ialah menghentikan segala keganasan dan kekejaman agar semua pihak boleh duduk semeja. Apabila keadaan stabil dan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan, barulah kita boleh bercakap soal pilihan raya.

“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya separuh jalan. Ia tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan memburukkan lagi keadaan kerana ada pihak yang tidak berpuas hati. Ini juga akan menyebabkan ketegangan berterusan di Myanmar dan memberi kesan kepada kita, negara-negara ASEAN yang berjiran dengan mereka,” katanya.

Menurut beliau, gencatan senjata sementara yang sedang berlaku ketika ini bukan sahaja perlu diperluaskan, malah perlu dikekalkan secara menyeluruh demi kestabilan dalam jangka masa panjang.

“Pihak Myanmar mengakui bahawa mereka sedang berusaha dan telahpun melaksanakan gencatan senjata sementara. Apa yang kami mahu ialah agar gencatan senjata ini diperluaskan dan dijadikan kekal, bukan hanya terhad kepada kawasan tertentu.

“Ia perlu merangkumi seluruh Myanmar supaya semua rakyat dapat kembali menjalani kehidupan mereka seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN