KUALA LANGAT: Persada Popcorn kini semakin laris selepas memperoleh Sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiga tahun lalu.
Pemilik Persada Popcorn, Zaleha Yusof, 63, bersyukur perniagaan pop corn yang diusahakannya semakin mendapat sambutan syarikat katering perkahwinan dan orang perseorangan.
“Alhamdullillah pada permulaan bisnes saya mendapat bantuan mesin memproses pop corn daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.
“Selain itu, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah memberi geran berjumlah RM5,000 untuk saya mendapat Sijil Halal Jakim bagi produk pop corn yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Banting Baru, di sini hari ini.
Zaleha yang merupakan Penerima Anugerah Usahanita Berdaya Maju 2024 MARA berkata, permintaan pop corn untuk musim perkahwinan dan buah tangan kenduri keluarga amat menggalakkan.
Ibu kepada sembilan cahaya mata itu berkata, perniagaan pop corn tersebut kini diamanahkan kepada tiga anaknya untuk menguruskan aspek pengurusan,pengeluaran dan pemasaran.
“Produk utama kita adalah pop corn karamel ‘mush room’ dan ‘butterfly’ yang mendapat sambutan hingga seluruh negara.
Orang ramai yang ingin berurusan dengan Zaleha boleh menghubunginya di talian 012337 5179 atau menerusi aplikasi WhatsApp. – UTUSAN











