KETIKA itu, seperti kanak-kanak sebaya yang lain, pelakon, Hisyam Hamid pernah mendaftarkan diri untuk belajar berenang pada usia 10 tahun. Namun nampaknya, hasratnya itu terkubur apabila Hisyam pernah lemas ketika kelas sedang berlangsung.
Bercerita lanjut mengenai itu, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39, berkata insiden itu berpunca daripada tenaga pengajar di sekolah renang yang tidak profesional. Guru lelaki itu menolak Hisyam ke dalam kolam tanpa memberikan sebarang tunjuk ajar mengenai asas berenang.
“Saya sebenarnya sedikit trauma untuk berlakon di dalam laut atau air sebab pernah lemas. Waktu itu saya kecil lagi dan pernah dapat pengalaman yang buruk. Tenaga pengajar saya ketika itu sangat garang macam ada masalah mental pun ya juga.
“Saya masih ingat dia main tolak sahaja saya ke dalam kolam dalam keadaan saya tidak tahu apa-apa tentang teknik berenang. Jadi sejak hari itu, trauma saya terhadap air semakin teruk. Mungkin dia fikir, bila buat begitu saya jadi tidak takut air, lebih berani.
“Tapi situasi itu buat saya jadi semakin teruk sehingga hari ini. Saya tidak pandai berenang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Oleh itu, pelakon asal Singapura itu tidak menafikan bahawa dirinya berasa cemas sekiranya diminta berlakon di dalam laut atau kolam. Bagaimanapun, Hisyam cuba melawan ketakutan itu ketika ditawarkan berlakon filem Memori arahan Abid Hussain menerusi karakter Imran.
Dalam filem tersebut, Hisyam bergandingan bersama Datuk Hilal Azman iaitu seorang bapa, Doktor Hussein yang menghidap alzheimer. Perjalanan cerita Imran dan Doktor Hussein banyak terikat dengan laut di mana Hisyam perlu terapung di tengah lautan.
“Sebelum mula penggambaran lagi, saya sudah beritahu awal-awal kepada pihak produksi saya takut berenang. Tapi itulah, mula sahaja penggambaran mereka minta saya terjun daripada bot ke dalam laut. Walaupun agak dalam, tapi saya masih okay sebab pakai jaket keselamatan.
“Namun yang paling mencabar ialah ada satu adegan di mana saya kena terapungkan diri di tengah laut sebab pengarah mahu ambil syot dari bawah untuk nampakkan batu karang. Jujur, memang sangat mencabar dengan keadaan laut yang berombak.
“Tambahan pula matahari memang sangat terik waktu itu, saya jadi mabuk laut juga,” katanya.
Buka itu sahaja, jelas Hisyam, untuk babak itu sahaja dia ‘berendam’ di dalam laut selama empat jam. Walaupun sangat mendebarkan pelakon itu yakin dengan pasukan keselamatan yang disediakan produksi sepanjang syot itu.
“Selama empat jam saya hanya berada dalam air sahaja. Selepas satu ‘take’, ada penyelam yang datang dan bawa saya ke tepi. Saya akan berpaut pada tali sementara tunggu jurukamera cari sudut rakaman yang baharu.
“Bila sudah sedia, saya kembali lagi apungkan badan. Pihak produksi juga sediakan penyelam dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sepanjang penggambaran.
“Melihat mereka, saya jamin tidak akan mati lemas. Tapi mereka tak pakai adegan itu dalam filem ini,” tambahnya.
Filem Memori mencatatkan pencapaian membanggakan apabila memenangi 20 anugerah utama dan pengiktirafan seluruh dunia antaranya di Los Angeles, New York, Mexico, China, Berlin, India, Tokyo, Singapura dan Filipina.
Memori mengisahkan hubungan kompleks antara seorang bapa dan anak lelakinya yang dilanda konflik emosi akibat kisah silam yang sukar dilupakan. Ia bakal menemui penonton bermula 31 Julai ini.-UTUSAN