KUALA LUMPUR: Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang tunai pelbagai mata wang milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berjumlah RM169 juta akan didengar pada 1 Oktober ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu memohon masa untuk meneliti dan menjawab permohonan yang difailkan pada 7 Julai lalu.
Peguam terbabit turut mewakili bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang turut dinamakan sebagai responden dalam permohonan melucut hak itu. Ismail Sabri dan Mohammad Anuar turut diwakili peguam, Ragunath Kesavan.
Turut hadir pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Alis Izzati Azurin Rusdi bagi pihak SPRM.
Menurut notis yang difailkan, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selepas SPRM berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) ASPRM 2009.
Wang-wang tunai yang dimohon untuk dilucutkan hak ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc).
Turut dimohon untuk dilucutkan hak ialah wang tunai berjumlah €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand) AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia).
SPRM turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 26 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang akhbar memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk melucutkan hak wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang didakwa ada kaitan dengan Ismail Sabri.
Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’.
SPRM turut menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.
Difahamkan, kesemua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri. – UTUSAN











