KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penjagaan tidak berbayar yang dilakukan oleh wanita sebagai ibu dan penjaga rumah tangga perlu diberi pengiktirafan sewajarnya dalam dasar pembangunan negara.
Pengerusi Majlis Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penggubalan dasar wanita oleh kerajaan bukan sekadar satu dokumen dasar, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar wanita dalam memacu pembangunan negara.
“Dasar ini penting bagi memperkasakan wanita serta meningkatkan penghargaan terhadap peranan mereka dalam masyarakat dan pembangunan negara.
“Ia juga membuktikan komitmen kerajaan terhadap masa depan wanita, khususnya dalam memastikan peranan mereka diiktiraf dan disokong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Walkabout Khas Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 di Lobi Parlimen, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keperluan mewujudkan sistem sokongan sosial yang kukuh bagi membantu golongan wanita, khususnya mereka yang menanggung beban kerja penjagaan di rumah di samping melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja.
“Isu ini bukan hanya berkisar soal kewangan, tetapi juga soal keadilan sosial. Wanita bekerja tanpa henti di rumah dan turut menyumbang di luar rumah.
“Oleh itu, sudah tiba masanya kita menyediakan ruang kepada mereka untuk berehat dan mempertimbangkan agar kerja penjagaan tidak berbayar ini diberikan nilai setara seperti kerja bergaji, terutama bagi golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN










