JERANTUT: Warisan perahu Tembeling yang berusia 500 tahun dibimbangi pupus ditelan zaman ekoran kesukaran pembuatnya memperoleh kayu hutan selain kurang minat golongan muda mewarisi seni pembuatan pengangkutan air tersebut.
Pengusaha perahu Kampung Pagi, Zainuddin Nong, 59, berkata, dia membuat perahu Tembeling secara kecil-kecilan di bengkel berdekatan rumahnya yang terletak berdekatan Sungai Tembeling untuk menyara hidup.
“Meskipun kudrat semakin lemah akibat faktor usia, permintaan yang kerap diterima dalam kalangan penduduk Ulu Tembeling dan pengusaha pelancongan Taman Negara untuk memiliki perahu merangsang saya terus melaksanakan kerja ini selagi mampu.
“Ada permintaan untuk menggunakan perahu apabila ramai pelancong mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan termasuk penduduk di sini yang bekerja sebagai nelayan sungai dan mengangkut hasil kampung ke Kuala Tahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Pagi.
Katanya, dia berdepan kesukaran memperoleh kayu meranti dan merawan di kawasan hutan kerana perlu mematuhi penguatkuasaan pihak berwajib bagi mengambil kayu tersebut dijadikan ‘lunas’ perahu.
“Kayu ini tumbuh di hutan yang agak jauh kebiasaannya digunakan oleh pembuat perahu dalam kalangan orang-orang tua sebelum ini untuk dijadikan lunas perahu (bahagian bawah perahu) kerana ringan dan tahan lama walaupun terkena air dan bergesel dengan batu jeram ketika di permukaan sungai.
“Kayu tersebut tidak ada lagi di pinggir hutan dan kampung ini kerana pupus akibat pokok ini ditebang dijadikan balak sejak dua dekad lalu,” katanya.
Katanya, warisan itu kemungkinan pupus apabila orang muda hari ini sudah tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja membuat perahu dan menoleh pekerjaan lain di Taman Negara selain berhijrah ke bandar besar.
Katanya, sehingga ini dia sedang melatih seorang anak lelakinya membuat perahu sekurang-kurangnya warisan Perahu Tembeling diteruskan sambil berharap warisnya itu tidak mencari kerja lain.
Menurutnya, dia dibantu tiga ahli keluarganya menjalankan perusahaan itu bagi memastikan warisan perahu berkekalan.-UTUSAN











