PUTRAJAYA: Penjawat awam di seluruh negara diingatkan supaya tidak menyertai himpunan mega dianjurkan pihak pembangkang yang dijadualkan 26 Julai ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjawat awam perlu patuh dengan ikrar yang telah termaktub dalam Rukun Negara.
“Mana boleh turun, mereka penjawat awam. Sebab setiap hari, setiap minggu kita baca ikrar (Rukun Negara) itu.
“(Salah satu prinsip Rukun Negara) Kesetiaan kepada raja dan negara, lupa ke? Taat setialah kita kepada raja dan negara,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Sukan Ansara 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya saranan kepada penjawat awam yang mahu menyertai himpunan itu.
Media sebelum ini melaporkan, Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikanan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Difahamkan, lebih 300,000 orang akan hadir pada himpunan itu dari seluruh negara bagi sebagai manifestasi rakyat untuk selamatkan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah berpunca daripada individu bernama Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai himpunan itu.
Katanya, pihak penganjur sudah membuat pemakluman mengenai himpunan itu kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurutnya, seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam. – UTUSAN










