Peniaga didenda RM500 biar rakan mati

Peniaga didenda RM500 biar rakan mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak mendapatkan rawatan untuk rakannya yang cedera sehingga lelaki itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman, seorang peniaga didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini.

Tertuduh, Oon Tien Yue, 37, mengaku bersalah di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuai mendapatkan rawatan untuk rakannya, Law Mun How, 37, yang juga pemandu e-hailing sehingga membahayakan nyawa mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini di antara pukul 10.33 pagi, 20 Jun dan pukul 7.50 malam, 22 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat dipukul berada dalam keadaan lemah dan tidur di dalam sebuah kereta di hadapan rumah Tien Yue selama seminggu bermula 14 hingga 20 Jun lalu.

Pada 22 Jun, tertuduh membawa mangsa masuk ke dalam rumah namun membiarkannya terbaring di ruang tamu tanpa mendapatkan rawatan perubatan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan jangkitan kuman yang teruk disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Ramanathan Alias Ashwin memohon hukuman setimpal atas alasan kecuaian tertuduh telah meragut nyawa rakannya.

Namun, Tien Yue yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan dia perlu menjaga ibu bapanya yang uzur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN