Penguatkuasaan menyeluruh pengendali, pemandu bas

Penguatkuasaan menyeluruh pengendali, pemandu bas

FAHMI Fadzil pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan pengendali dan pemandu bas susulan kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan awal berhubung insiden tersebut telah dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan kepada Jemaah Menteri dan beberapa langkah penyelesaian sedang dirangka bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Penguatkuasaan akan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab secara langsung dan turut melibatkan semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan melibatkan pengendali serta pemandu bas.

“Sebelum ini juga dimaklumkan terdapat sejumlah besar saman tertunggak membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas.

“Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan langkah penguatkuasaan yang lebih tersusun dan menyeluruh dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Parlimen hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bentuk penguatkuasaan tersebut akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) manakala pelaksanaannya akan diselaraskan sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan.

“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini, siasatan terhadap kes ini bukan hanya tertumpu kepada kemalangan membabitkan pelajar UPSI, sebaliknya akan diperluas kepada keseluruhan industri pengangkutan awam khususnya melibatkan pengendali bas.

“Langkah ini penting bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa dipertingkatkan dan tidak menjejaskan nyawa penumpang,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Kementerian Pengangkutan.

“Insya-Allah, kita harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN