IPOH: Peniaga dan pengilang di negeri ini tidak menolak berlakunya tekanan terhadap kos perniagaan mereka susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu.
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) cawangan Perak bagaimanapun melihat perkara itu boleh ditangani melalui sesi penerangan tentang SST.
Naib Pengerusi FMM Perak, Mark Chan berkata, meskipun peluasan skop SST telah dimaklumkan lebih awal, namun melihat masih ada keperluan sesi libat urus penerangan diadakan.
“Kita memerlukan penerangan tentang bagaimana SST itu dilaksanakan serta penjelasan bagaimana pengecualian cukai yang ada berbeza mengikut industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Special Coffee Series: SST Expansion di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Seramai 450 pemain industri atau pengilang dalam pelbagai sektor di seluruh Perak menghadiri sesi berkenaan.
Mark berkata meskipun peluasan SST ini memberi implikasi kepada kos bahan mentah namun ia berbeza mengikut mengikut jenis produk dan komposisi bahan mentah yang digunakan.
Beliau melihat sesi itu penting memandangkan peluasaan skop SST membabitkan lebih 3,000 barangan tambahan dan menimbulkan banyak pertanyaan teknikal dalam kalangan pengilang.
Di dalam sesi tersebut, para peserta didedahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia tentang bagaimana sesuatu proses perubahan atau penghasilan produk terkesan dengan cukai mengikut senarai dan kadar yang ditetapkan.
Sementara itu Redza Rafiq berkata, sejak 1 Julai lalu pihaknya menerima banyak pertanyaan termasuk daripada ahli-ahli FMM, syarikat pengeluar dan peniaga berkenaan pelaksanaan dan implikasi perubahan dasar cukai itu.
“Kita faham dengan pelbagai cabaran, perubahan semasa dan perkembangan dalam sistem percukaian, banyak syarikat memerlukan penjelasan dan bimbingan lanjut agar dapat mematuhi peraturan selain melonjakkan ekonomi negeri Perak,” katanya. – UTUSAN