Penghasilan filem animasi perlu dipertingkat

Penghasilan filem animasi perlu dipertingkat

ZAHRIN Zamzuri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penghasilan filem animasi wajar dipertingkat memandangkan industri animasi negara telah mencipta sejarah baru apabila tayangan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) baru-baru ini telah meraih kutipan RM 60 juta di pawagam.

Menurut Presiden Animas, Zahrin Zamzuri, kutipan tersebut merupakan yang tertinggi dalam rekod tayangan filem animasi terbitan Malaysia setakat ini sekali, gus membuktikan bahawa industri animasi semakin berkembang dan mendapat sokongan kuat rakyat Malaysia.

Malah, beliau turut meyakini kutipan itu juga menyumbang kepada ekonomi digital negara.

“Malangnya, walaupun potensi filem animasi sangat besar, namun hanya beberapa filem animasi sahaja yang mampu dihasilkan oleh produksi animasi tempatan.

“Jika dilihat kepada rekod tayangan di pawagam sejak era pasca-Covid19, hanya satu sahaja filem animasi mampu dihasilkan setahun untuk tayangan 2021 tiada, 2022 Mechamato, 2023-Didi & Friends, 2024-Dongeng Sang Kancil, 2025-Ejen Ali The Movie (EATM) 2.

“Sewajarnya, Malaysia memerlukan lima atau enam filem animasi setahun memandangkan sambutan sangat tinggi di kalangan penonton disamping membuka potensi besar dalam kitaran ekonomi negara termasuklah potensi eksport,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, situasi produksi ketika ini mempunyai jurang masa yang sangat jauh dan merugikan ekonomi.

“Sebagai contoh, filem EATM1 (2019) mempunyai jurang selama enam tahun dengan EATM2 (2025). Jurang masa yang sebegitu lama tidak wajar dibazirkan dan sepatutnya dimanafaatkan dengan mengisi banyak filem animasi tempatan yang lain,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau mengakui industri filem animasi Malaysia masih muda berbanding filem-filem lain, namun perlu diberi perhatian bahawa industri animasi di Malaysia adalah paling terkehadapan berbanding negara Asean lain.

“Seluruh rakyat Malaysia wajar meraikan pencapaian cemerlang EATM2 dan perlu terus menyokong ke arah penambahbaikan produksi EATM yang seterusnya.

“Justeru, persatuan ini ingin menggesa kerajaan agar memperbanyakkan lagi insentif terhadap industri animasi supaya lebih banyak animasi sehebat EATM dapat dihasilkan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada ramai generasi muda yang berbakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN