SEREMBAN: Seorang pemandu kereta Proton Satria yang videonya tular memandu laju dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Persiaran Senawang 1, Ahad lalu didakwa hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya.
Orang Kena Saman (OKS), Iskandar Abd Aris, 20, yang merupakan penghantar makanan dan pesalah muda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Proton Satria telah memandu kenderaan itu secara melulu yang berbahaya kepada orang awam.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan jika disabitkan lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.
Dalam pada itu, tertuduh mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen.
Jika disabitkan, hukuman denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan lebih kurang 2 pagi di Persiaran Senawang 1 di aini pada 6 Julai lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 atas kedua-dua pertuduhan dan memohon tarikh sebutan baharu untuk mengemukakan laporan sosial bagi pertuduhan memandu tanpa lesen.
Peguam Noor Syairah Izzati Mohd. Noor memohon jaminan paling rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan anak guamnya bekerja sebagai penghantar makanan dan menanggung tiga adik selain ibunya mempunyai masalah kesihatan.
“Tertuduh telah kehilangan bapanya sejak umur 10 tahun dan ibunya menjual kuih dengan pendapatan RM50 ke RM80 sehari,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,300 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Ogos depan untuk serahan dokumen dan laporan sosial.
Sebelum ini, media melaporkan video berhubung kejadian tular di media sosial memaparkan kereta yang dipandu lelaki itu dipercayai dipandu laju, hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.-UTUSAN