Pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki di Sentul

Pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki di Sentul

K. Nagentheran (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan, di Sentul, Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di Sentul, dua bulan lalu.

Tertuduh, K. Nagentheran, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Nagentheran didakwa membunuh K. Kumaran, 44, di tepi jalan di Taman Intan Baiduri, Sentul, di sini pada pukul 9.23 malam, 25 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd. Yunus Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut laporan media, mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dibunuh akibat perselisihan faham. 

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa ke sebuah kuil, sebelum minum bersama sekumpulan lelaki di depan rumah ibadat itu.

“Difahamkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum suspek beredar dan kembali semula untuk menetak mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN