KUALA LUMPUR : Tindakan seorang penganggur meragut seorang warga asing di Jalan Imbi pada 15 Jun lalu mengundang padah apabila dia ditahan polis pada Jumaat lalu.
Penahanan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun pada Jumaat lalu dibuat di kawasan Setapak di sini selepas satu laporan polis dibuat oleh mangsa memaklumkan beg sandangnya diragut pada pukul 8 malam.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, di dalam kejadian itu, mangsa memaklumkan telah kehilangan dokumen pengenalan diri selain mata wang asing AS$200 (RM 846) dan wang tunai RM1,700.
Turut hilang iaitu tiga keping kad mesin pengeluaran wang (ATM) dengan anggaran kerugian lebih kurang RM2,500.
“Rentetan laporan itu, kita menahan suspek pikul 4.50 petang hasil maklumat risikan Cawangan Siasatan Khas (D9).
“Hasil daripada pemeriksaan, kita menemukan lima keping kad ATM diikuti keping lesen memandu Malaysia,(2) kad Touch N Go (satu) ; pasport dan lesen memandu negara Pakistan (masing-masing satu),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan memerhati pergerakan mangsa yang leka bermain telefon bimbit sebelum meragut mereka.
Jelasnya,suspek juga didapati menyewa di hotel bajet dan sering berpindah randah bagi mengelak daripada dikesan.
Sulizmie Affendy memberitahu, hasil penahanan itu, dua buah telefon bimbit dirampas selain dua helai seluar jeans dan kasut serta beg.
“Kami juga merampas serangkai kunci motosikal W6300M, topi keledar MS88, kunci mangga dan sebuah motosikal Honda Wave Alpha digunakan suspek.
“Siasatan lanjut mendapati motosikal yang dirampas masih dilaporkan hilang di Jalan Pahang, Wangsa Maju,” jelasnya.
Ujarnya, kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan semakan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine yang disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman tujuh hari mulai 16 Julai lalu hingga 22 Julai lalu sebelum lelaki itu diserahkan kepada IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
“Orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan yang menyalahi undang-undang dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.-UTUSAN









