BAGAN SERAI: Lebih 100 penduduk mengadakan solat sunat Istisqa di Tasik Bukit Merah di sini memohon diturunkan hujan berikutan musim panas yang menyebabkan air di tasik tersebut surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah berkata, solat tersebut diadakan sebagai ikhtiar apabila paras air Tasik Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal iaitu 6.01 meter atau 19.75 kaki berikutan cuaca panas lebih sebulan.
“Alhamdulillah, lebih kurang 100 orang hadir menunaikan solat sunat. Walaupun kita jangka tidak ramai sebab waktu ini hari bekerja, namun kehadiran yang ramai membuktikan kesungguhan masyarakat di sini memohon kepada Allah menurunkan hujan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, musim panas ketika ini semakin membimbangkan yang bukan sahaja menyebabkan pengairan ke sawah dihentikan, malah dikhuatiri bekalan air untuk pengguna juga mungkin terjejas jika keadaan berlarutan sebulan lagi.
Beliau berkata, jika cuaca panas berterusan, pihaknya akan mohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembenihan awan sebagai langkah segera.
“Kami juga akan membawa perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang dijadual berlangsung esok,” katanya.
Sallehuddin turut mendesak kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak dan pembinaan empangan baharu seperti yang dicadangkan sejak pentadbiran terdahulu.
“Kita sudah dengar perancangan ini sejak zaman Datuk Dr. Azmi Ghazali (bekas Ahli Parlimen Bagan Serai) lagi, tapi sampai hari ini belum dilaksanakan. Dulu kos pembinaan hanya sekitar RM300 juta, sekarang sudah mencecah RM800 juta hingga hampir RM1 bilion.
“Baru-baru ini Perdana Menteri umumkan peruntukan RM4 bilion untuk pemindahan air Sungai Perak semasa melancarkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Jadi kita minta projek ini disegerakan demi kepentingan petani, rakyat dan industri,” katanya.
Ujar beliau, masalah pengairan di Kerian bukan isu kecil kerana ia melibatkan keterjaminan makanan negara dan memberi kesan langsung terhadap sektor pertanian, khususnya sawah padi.
Menurutnya, jika isu pengairan dibiarkan, sawah akan semakin terbiar, hasil berkurang dan akhirnya petani tiada pilihan selain tukar tanaman kepada kelapa sawit atau kelapa demi kelangsungan hidup.
“Memang mengikut Kanun Tanah Negara, penukaran guna tanah tidak dibenarkan tetapi apa pilihan pesawah jika tanaman padi tidak memberi hasil dan menjejaskan pendapatan,” katanya.
Sallehuddin berkata, jika perkara ini tidak ditangani segera, tidak mustahil Kerian akan kehilangan statusnya sebagai jelapang padi satu hari nanti.
“Kita tak mahu Kerian hanya tinggal nama. Petani perlukan sokongan segera , bukan sekadar janji projek masa depan,” katanya.-UTUSAN










