MELAKA: Tindakan seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita ketika membuat siaran langsung di aplikasi TikTok membawa padah apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Banda Hilir, Melaka awal pagi tadi.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, lelaki berusia 25 tahun dan masih bujang itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa selepas pihaknya menerima aduan awam.
“Ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan didapati memakai blaus labuh berwarna ungu, lengkap dengan rambut palsu, sanggul, kasut wanita serta anting-anting.
“Kesemua barangan tersebut telah disita untuk dijadikan bahan bukti, manakala individu terbabit dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, serbuan dilakukan susulan maklumat orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang disyaki cuba mempromosi serta menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara terbuka.
“Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mengamalkan gaya hidup LGBT kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam serta menyentuh sensitiviti masyarakat negara ini.
“Tindakan sedemikian juga jelas melanggar undang-undang yang tidak menyokong sebarang bentuk amalan LGBT di Malaysia,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana lelaki berlagak seperti perempuan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN