PETALING JAYA: Setiap penceramah dan pendakwah bebas perlu mematuhi etika serta garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berharap pihak berkuasa agama negeri-negeri melaksanakan saringan latar belakang, akhlak dan kelayakan seseorang agar dakwah disampaikan mereka bukan bersifat fitnah.
Berhubung kes membabitkan seorang penceramah bebas yang disyaki terlibat dengan penyebaran video seks, beliau berkata, ia memberikan implikasi negatif bukan sahaja mencemarkan maruah individu terlibat tetapi turut memburukkan imej institusi dakwah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agamawan.
“Pada masa yang sama, kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya saling mengaibkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk meraih pengaruh atau perhatian.
“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap penceramah, pendakwah dan individu yang membawa imej Islam, terutamanya golongan agamawan bebas, hendaklah sentiasa menjaga akhlak, integriti dan maruah diri selaras dengan ajaran Islam.
“Kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan yang tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook, hari ini.
Mohd Na’im berkata, kerajaan komited memperkasa ekosistem dakwah lebih tersusun, profesional dan berintegriti.
Katanya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menganjurkan program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda Yadim (ADMY) yang memfokuskan usaha melahirkan pendakwah-pendakwah muda negara.
“Hingga kini, sebanyak 364 orang sudah menjalani latihan intensif untuk kedua-dua program ini sejak ia dimulakan pada 2014. Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah Madani,” katanya. – UTUSAN