Pelupusan sisa secara selamat demi kesejahteraan semua

Pelupusan sisa secara selamat demi kesejahteraan semua

LOJI rawatan kumbahan IWK direka khusus untuk merawat air sisa domestik sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adalah penting bagi sisa toksik dan bahan berbahaya dilupuskan dengan selamat dan penuh tanggungjawab, serta mematuhi peraturan ketat yang telah ditetapkan.

Pembuangan sisa toksik secara tidak betul, seperti pembuangan bahan kimia ke dalam sistem pembetungan awam atau barangan berbahaya ke dalam tandas, boleh mendatangkan risiko serius kepada orang awam dan alam sekitar.

Kejadian yang berlaku baru-baru ini di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, menunjukkan betapa bahayanya perbuatan ini sehingga terjadinya letupan di dalam paip pembetungan. Semasa letupan ini berlaku, cecair berwarna merah jambu telah ditemui di dalam sistem pembetungan berkenaan.

Siasatan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. mendapati terdapat kemasukan efluen gas beracun berwarna merah jambu ke dalam rangkaian pembetungan terbabit, yang menunjukkan kemungkinan besar berlakunya pembuangan bahan kimia secara haram.

Insiden seperti ini bukanlah kejadian terpencil, kes yang serupa pernah berlaku sebelum ini.

Sebagai contoh, pada November 2020, IWK telah melaporkan pelepasan air sisa secara haram yang kelihatan seperti buih putih dan air berwarna merah masuk ke dalam loji rawatan kumbahan di Taman Velox, Rawang.

Tindakan segera telah diambil termasuk mempertingkatkan proses rawatan biologi, penyingkiran bahan cemar, pengalihan air sisa tercemar ke dalam tangki berasingan, serta pemantauan loji sepanjang 24 jam.

Sekiranya bahan kimia berbahaya ini terlepas sepenuhnya daripada proses rawatan, kesan terhadap alam sekitar menjadi sangat serius; mengancam ekosistem, sumber air dan kesihatan awam.

Pada tahun 2019, IWK juga terpaksa menjalankan operasi pembersihan selepas sisa glycerine dibuang secara haram ke dalam lurang pembetung (manhole) awam di Kawasan Perindustrian Kamunting, Bukit Sentosa.

Kakitangan IWK mendapati penutup lurang pembetung (manhole) telah dirosakkan dan kumbahan melimpah ke Jalan Kamunting 2B. Kerja-kerja pemulihan segera telah dijalankan untuk mengawal keadaan dan mengelakkan pencemaran ke sumber air berdekatan.

Laporan media pada ketika itu menyatakan bahawa pembuangan sisa glycerine secara haram telah mencemarkan saliran utama pembetungan berhampiran Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

Pembuangan sisa toksik boleh menyebabkan kos pembaikan loji yang tinggi, gangguan operasi, serta potensi pencemaran alam sekitar.

“Pelepasan sisa haram sebegini bukan sahaja mengganggu proses rawatan, malah turut memberikan beban kewangan yang besar kepada syarikat. Secara purata, kami membelanjakan sehingga RM500,000 bergantung kepada tahap keseriusan untuk membaik pulih sesuatu insiden,” kata Ir. Mohd Taufik Salleh, Ketua Pegawai Operasi IWK.

“Wang ini sepatutnya dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk menambah baik infrastruktur, memperluas liputan perkhidmatan, serta merangsang inovasi demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” tambahnya.

Pelepasan sisa toksik ke dalam lurang pembetungan merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 122 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], yang melarang pembuangan sebarang bahan ke dalam lurang pembetungan. Jika disabitkan, pesalah akan dihukum denda sehingga RM1,000,000 dan/atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pelepasan efluen yang dilarang atau bahan berbahaya ke dalam paip pembetungan awam atau loji rawatan kumbahan juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 61. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Namun, risiko ini tidak hanya terhad kepada sisa industri semata-mata. Tabiat harian kita juga menyumbang kepada masalah ini. Sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan, amalan pelupusan yang betul mampu memberikan perubahan yang besar.

Sehubungan itu, IWK meminta orang awam agar melupuskan sisa dengan cara yang betul. Barangan harian yang kelihatan tidak berbahaya seperti tisu basah, lampin pakai buang, tuala wanita, malah pakaian, boleh menyebabkan saluran paip pembetungan tersumbat dan menyebabkan sekatan serius.

Halangan seperti ini boleh merosakkan saluran paip, menyebabkan limpahan kumbahan, banjir di jalan raya dan sungai, serta menjejaskan kesejahteraan orang awam.

Pelupusan sisa yang betul amat penting untuk memastikan sistem pembetungan kita beroperasi dengan cekap. Apabila sisa diuruskan dengan betul, air kumbahan dapat mengalir dengan selamat melalui rangkaian paip pembetungan ke loji rawatan IWK, di mana ia menjalani proses rawatan yang teliti dan terkawal sebelum dilepaskan semula ke sumber air atau sungai.

Proses ini bukan sahaja melindungi kesihatan awam dan memelihara alam sekitar, malah menjamin kelestarian berterusan untuk generasi akan datang.
IWK kekal komited dalam mengurus sistem pembetungan negara, namun kita semua memain peranan penting dalam memelihara alam sekitar.

Melalui amalan pelupusan sisa yang selamat, kita dapat melindungi alam dan memastikan sistem pembetungan berfungsi dengan lancar dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN