Peluasan skop SST: KPDN laksana Op Kesan 4.0

Peluasan skop SST: KPDN laksana Op Kesan 4.0

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan Op Kesan 4.0 bermula semalam bagi mengesan sebarang perniagaan yang mengambil kesempatan daripada semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai bagi menaikkan harga barang secara keterlaluan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, operasi itu adalah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan atau ‘profiteering’ susulan pelaksanaan peluasan skop SST.

“Orang ramai diminta mengambil maklum hotline yang telah diumum oleh pihak KPDN dan membuat aduan sekiranya mereka mendapati mana-mana premis perniagaan menaikkan harga dalam kadar yang tidak berpatutan.

“Insya-Allah pihak KPDN akan segera mengenal pasti premis-premis tersebut dan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Kerajaan melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.

Semakan dan peluasan cukai SST itu merangkumi buah-buahan import kecuali epal, limau, kurma dan oren, selain produk makanan yang mahal seperti ikan kod, ketam raja, caviar, rokok dan curut. Peluasan SST dibimbangi akan menyebabkan kenaikan harga barang berikutan kenaikan kos operasi dan baham mentah.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan itu berkata, Kementerian Komunikasi sedang menyelaraskan usaha bagi memastikan dana bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat disediakan dalam tempoh terdekat.

Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan fizikal bersama semua Ahli Lembaga Pengasas MMM tidak lama lagi.

“Memandangkan ada dalam kalangan wakil, bukan semua berada di Lembah Klang, maka kita akan cari masa bersesuaian untuk menjemput semua hadiri pertemuan.

“Kita jangkakan di pihak Kementerian Komunikasi, usaha untuk memastikan dana bagi memulakan Majlis Media ini dapat disediakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mengenai mesyuarat Kabinet, Fahmi berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum cuaca panas berikutan peralihan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu dan dijangka berterusan hingga September depan.

“Jemaah Menteri telah minta supaya orang ramai sentiasa mengambil maklum mengenai notis atau pun pemakluman dari pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Bagi kesesuaian aktiviti luar, Jemaah Menteri minta Kementerian Kesihatan mengambil maklum dan membuat pengumuman bersesuaian dengan keadaan cuaca pada satu-satu ketika,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN