KOTA TINGGI: Pelantikan pengganti bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara dijangka diketahui selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang bersidang pada pertengahan bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasil Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan tersebut selaras Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan mengenai pelantikan jawatan berkenaan.
“Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan kekosongan jawatan badan kehakiman negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Jadi kita tunggu minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai bersidang,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di sini hari ini yang disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Terdahulu, Majlis Raja-Raja dilaporkan akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Rabu lalu, Azalina dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dilaporkan menggesa pelantikan pengganti bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara perlu disegerakan berikutan beberapa hakim kanan sudah dan bakal bersara dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dilaporkan berkata, meskipun proses pelantikan perlu mematuhi lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan sewajarnya memandangkan persaraan beberapa hakim kanan sudah diketahui awal. – UTUSAN