Pelantikan Ketua Hakim Negara tamatkan fitnah, tohmahan - Anwar

Pelantikan Ketua Hakim Negara tamatkan fitnah, tohmahan – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengumuman nama Ketua Hakim Negara dan hakim atasan lain telah memadamkan polemik, keluh kesah, fitnah dan tohmahan yang dihadapi kerajaan sejak bermingu-minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang mesyuarat Majlis Raja-Raja itu sendiri membuktikan proses pelantikan hakim atasan itu berjalan dengan baik dan berlandaskan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Saya cuma nak tekankan bahawa budaya fitnah ini harus dihentikan kerana ia tidak merujuk kepada fakta.

“Keputusan (pelantikan hakim atasan) yang diambil sentiasa mengambil kira kedudukan badan kehakiman sebagai salah satu tonggak utama negara yang berdaulat, merdeka serta mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, beliau juga mempersoalkan siapa sebenarnya yang merosakkan krisis badan kehakiman kerana beliau sendiri tidak pernah membuang mana-mana hakim dan tidak menghantar hakim ke tribunal.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, nama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (Hakim Mahkamah Persekutuan) tidak pernah dicalonkan sebagai Ketua Hakim Negara.

“Ya ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan (nama yang dicalonkan Ketua Hakim Negara), saya boleh sebutlah Tan Sri Teri (Ahmad Terriruddin) yang juga bekas Peguam Negara.

“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan. Jadi dari mana sebaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diatas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara serta beberapa hakim atasan lain.

“Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu dan juga Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

“Ini satu mandat dan Insya-Allah mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Teka-teki kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara berakhir terjawab apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menerusi kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Negara.

“Dimaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN