GURUN: Seorang pelajar lelaki sebuah universiti lemas ketika cuba membantu rakannya yang hampir lemas di Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak di sini, tengahari tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari semasa mangsa Zaim Ikhwan, 24, yang berasal dari Sungai Dedap, Yan sedang mandi-manda bersama enam lagi rakan ketika mengunjungi kawasan air terjun itu sejak pagi.
Difahamkan, kesemua mereka merupakan pelajar sebuah universiti di Kuala Ketil dan mengunjungi kawasan itu untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.
Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa melihat salah seorang rakan perempuannya yang terkapai-kapai di salah sebuah kolam di situ sebelum bertindak menyelamatkannya.
Namun, selepas rakannya berjaya dibawa ke tebing, mangsa dikatakan mengalami masalah kejang sebelum tenggelam di dalam kolam itu.
Dia ditemui di dasar kolam oleh pengunjung lain namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Mayat dibawa turun oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Cempedak sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua BBP Guar Cempedak, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Happyzam Abd. Rashid mengesahkan kejadian dan memaklumkan operasi selesai pada pukul 3.30 petang. – UTUSAN