KAJANG: Seorang pelajar tingkatan satu kelas peralihan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk gurunya di sebuah sekolah di sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, Majistret Fatin Dayana Jalil menangguhkan prosiding ke 11 September ini bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.
Ibu bapa remaja itu turut hadir ketika prosiding berlangsung dengan ibu tertuduh dilihat sugul sebelum memasuki dewan mahkamah.
Remaja berusia 14 tahun terbabit membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya pada pukul 4.48 petang, 28 Julai lalu di sekolah tersebut dekat sini.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Zulbahrin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan kes itu serius dan tular di media sosial.
Bagaimanapun, peguam bela, S. Priyalatha yang mewakili remaja itu memohon jumlah ikat jamin minimum dengan alasan anak guamnya masih bersekolah dan memerlukan sokongan keluarga.
“Anak guam saya berusia 14 tahun, masih bersekolah dan dia adalah pesalah muda di bawah undang-undang. Saya mohon jaminan yang rendah agar tidak membebankan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan pertengkaran antara dua lelaki, berakhir dengan seorang remaja, menumbuk pipi lelaki dewasa terbabit.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pelajar itu bertindak demikian selepas ditegur gurunya kerana ponteng kelas.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada guru lelaki berusia 29 tahun berhubung kejadian terbabit pada 7.15 malam, kelmarin.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca apabila pelajar itu ponteng kelas pendidikan jasmani yang sepatutnya berada di padang sekolah dan dia ditegur guru berkenaan,”katanya.-UTUSAN










