GUA MUSANG: Pekebun-pekebun bumiputera digalakkan menyertai penanaman durian musang king kerana hasilnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit semusim.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pekebun tanaman durian jenis musang king dalam kalangan golongan bumiputera di negara ini masih kurang.
Katanya, kebanyakan golongan Melayu menanam durian musang king namun secara tradisional untuk sumber makanan keluarga dan tidak dikomersialkan.
“Hasil tanaman durian ini memakan masa selama enam hingga tujuh tahun. Jika nak mengusahakan durian ini mengambil masa dan memerlukan kerajinan termasuk untuk proses penjagaan, membenih serta pembajaan.
“Kita masih banyak tanah untuk mengusahakan tanaman durian. Kita lihat di Gua Musang mempunyai tempat dan tanah paling subur untuk mengusahakan durian musang king,” katanya selepas merasmikan Pesta Durian 2025 Gua Musang di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini hari ini.
Mohamad berkata, jumlah peniaga durian Melayu yang menceburi perniagaan durian masih rendah.
Beliau berharap lebih ramai golongan pekebun kaum Cina dan Melayu bergabung untuk bersama membangunkan perusahaan durian.
“Macam seorang wanita Tionghoa dan juga bekas pramugari baru-baru ini dapat sijil kerana mengusahakan lebih 400 hektar tanaman durian musang king. Dia buka perniagaan musang king kerana masa tua nanti dia nak menikmati pendapatan lumayan.
“Hasil pendapatan durian musang king jika diusahakan di atas tanah seluas satu hektar tanah boleh dapat RM70, 000 satu musim,” katanya. – UTUSAN











