PUTRAJAYA: Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor didapati cuai kerana gagal mengambil tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah oleh makmal patologi hospital awam.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memaklumkan, hasil siasatan pihaknya mendapati pegawai AADK terbabit gagal memastikan individu itu menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah.
Katanya, kegagalan ini menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan apabila individu tersebut tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan.
“Wujud kegagalan dalam usaha mengesan semula individu berkenaan.
“Walaupun beberapa operasi didakwa telah dijalankan, tiada bukti dokumentasi yang kukuh dapat mengesahkan tindakan pengesanan tersebut benar-benar ditumpukan kepada individu terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut EAIC, pihak pengurusan AADK peringkat daerah didapati gagal dalam memantau dan menyelia pegawai bawahan dengan berkesan.
Katanya, hal ini membawa kepada pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes menyebabkan kes masih tidak diselesaikan dan ditutup sehingga kini.
“EAIC turut mendapati kelemahan dalam SOP pengesanan individu yang gagal hadir.
“Ini termasuk garis panduan bagi pegawai penguat kuasa AADK untuk memasuki premis bagi tujuan penahanan individu yang disyaki,” katanya.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit.
Perkara itu tertakluk di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(j), peraturan yang sama.
“EAIC turut merujuk hasil siasatan ini kepada Ketua Pengarah AADK bagi tujuan penambahbaikan SOP penahanan individu yang disyaki menagih dadah.
“Ini agar pelaksanaan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan secara lebih proaktif dan berkesan,” katanya. – UTUSAN