Pecat pentadbir benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah di masjid

Pecat pentadbir benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah di masjid

Pentadbir masjid
MOHAMMAD FAHMI NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 87 orang pentadbir masjid-masjid pengurusan di seluruh negeri ini sudah pun berdepan tindakan pemecatan selepas dikesan bersekongkol dengan aktiviti ceramah oleh penceramah tidak bertauliah.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau sudah pun memberi peringatan berkali-kali dan tidak akan berkompromi terutama kepada penceramah yang tidak bertauliah atau melanggar syaratnya.

Menurutnya, jika aduan disahkan benar, penceramah yang langgar syarat akan ditarik balik tauliah mengajar manakala pentadbir masjid diambil ditamatkan perkhidmatan kerana tidak menguatkuasakan peraturan masjid.

“Kerajaan negeri kena bertegas, pentadbir negeri macam itu kita kena keluarkan (pecat), senang. Sebab kita model masjid pengurusan supaya ia terkawal, tak adalah orang yang beri muka (kepada) orang yang melanggar peraturan.

“Kita ada dua isu, satu penceramah yang tak bertauliah, memang tidak boleh masuk. Kalau yang masuk itu pentadbir masjid, maka pentadbir itu kena tukar (dipecat dan diganti),” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pindaan itu antaranya bertujuan menangani cabaran penyebaran fahaman bercanggah dengan ASWJ yang membawa konflik dan mencetuskan perpecahan umat, menjamin integriti institusi agama serta menjaga maslahat umum atau maqasid syariah.

Jelas Mohammad Fahmi, kerajaan negeri akan menaik taraf 20 lagi masjid di seluruh negeri kepada masjid pengurusan bagi mengukuhkan kawalan di pusat ibadah itu serta penguatkuasaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) yang baru diluluskan pindaannya, hari ini.

“Senarai itu sudah dimuktamadkan dan kita akan umumkan kemudian. Ia tambahan kepada 87 masjid pengurusan sedia ada.

“Saya sebutkan dalam sidang DUN tadi, saya cakap kita akan kuat kuasakan, bila saya sebut Rang Undang-Undang (RUU) itu diluluskan, kalau ada pemegang jawatan utama pengurusan agama Islam Selangor, semua kena berpegang kepada ASWJ. Kita saring ke bawah sampai ke penceramah termasuk pentadbir masjid,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN