KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu enam premis kilang di Johor, Selangor dan Melaka yang disyaki mengimport serta memproses produk logam secara tidak sah, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM96.35 juta, semalam.
Serbuan menerusi Op Padu 2.0 itu dilaksanakan oleh Pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama pelbagai agensi penguat kuasa lain.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu bertujuan membanteras kemasukan produk logam separa siap dan siap dari luar negara yang tidak sah dan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Katanya, operasi turut menyasarkan kilang yang memproses serta membekal produk logam untuk sektor pembinaan dan industri tempatan.
“Operasi ini adalah usaha menangani isu kemasukan bahan produk logam separa siap atau siap dari luar negara ke Malaysia secara tidak sah dan tidak menepati spesifikasi ditetapkan agensi berkaitan serta kegagalan mengemukakan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) yang sah.
“Premis berkenaan juga dikesan menggajikan pekerja warga asing yang tidak sah.
“Seramai 60 pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan 57 warga asing berusia lingkungan 26 hingga 59 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, serbuan dijalankan secara serentak di tiga negeri dengan kerjasama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), SIRIM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, pemeriksaan terhadap premis itu mendapati pelbagai kesalahan termasuk dokumen PPS yang tidak lengkap dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.
Jelas beliau, pihaknya turut menyita pelbagai bahan dan peralatan logam dengan jumlah nilai rampasan melebihi RM96 juta.
“Sitaan membabitkan produk besi atau logam dan peralatan antaranya 11,000 batang ‘rebar’ pelbagai saiz, 1,700 batang logam jenis ‘wire mesh’, 1,500 batang ‘wire rod’ dan 152,830 batang ‘hollow section steel’ dengan berat keseluruhan lebih 12,000 tan.
“Turut disita 2,432 ‘coil galvanised steel sheet’, dua unit ‘multi crane’ lima tan, mesin pemotong ‘CNC industrial scale’ serta 152 tong gas dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM96.35 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi berkata penggunaan bahan logam tanpa pengesahan PPS menimbulkan risiko keselamatan terhadap kualiti pembinaan.
Menurutnya, produk yang dirampas dikenal pasti sebagai ‘end product’ dan ‘semi-finished product’ yang dipercayai diimport tanpa kelulusan sah.
“Penggunaan produk logam atau besi yang tidak mematuhi piawaian akan mendatangkan risiko keselamatan terhadap industri dari segi kualiti material produk yang digunakan.
“Spesifikasi dan kualiti material produk besi atau logam yang digunakan dalam semua sektor industri domestik perlu diperakui oleh agensi bertanggungjawab iaitu CIDB atau SIRIM sebelum boleh digunakan,” katanya.
Azmi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta CIDB, Akta Imigresen, Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Akta Kerajaan Tempatan.
Menurutnya, sebahagian kes diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk siasatan rampasan oleh CIDB, tindakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta kompaun PBT.
“Kesalahan mengikut Seksyen 33D(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) sudah diambil tindakan sitaan produk logam oleh CIDB Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, tangkapan dan rampasan diserahkan ke Jabatan Imigresen negeri masing-masing manakala kesalahan alam sekitar dikompaun kerana tiada sistem pengolahan efluen (cecair sisa kilang) dan pengurusan buangan tidak teratur,” katanya.
Azmi berkata, pihak PBT turut mengambil tindakan terhadap struktur tambahan tanpa kelulusan serta premis penginapan pekerja yang sesak dan kotor.
Menurutnya, keseluruhan nilai kompaun yang dikeluarkan PBT berjumlah RM12,000.
“PBT juga mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis atas kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan struktur tambahan tanpa kebenaran serta mengeluarkan notis amaran untuk perobohan dalam tempoh 14 hari.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan rumah atau bilik penginapan yang sesak dan kotor,” katanya. – UTUSAN