Pasukan produksi Impak Maksima 2 terima penghormatan diraja - Utusan Malaysia

Pasukan produksi Impak Maksima 2 terima penghormatan diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan produksi filem Impak Maksima 2 menerima penghormatan diraja oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di satu majlis istiadat yang berlangsung di Istana Arau, kelmarin.

Menurut produksi Screen Studio Sdn. Bhd, rombongan promosi filem tersebut diketuai oleh pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama barisan pelakon iaitu Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli dan Riezman Khuzaimi serta beberapa kru penerbitan.

Pihak produksi menyifatkan pertemuan bersama Raja Perlis itu sebagai satu penghormatan besar dan luar biasa buat produksi filem tanah air.

“Seluruh pasukan promosi berasa sangat berbesar hati kerana ini bukan sesuatu perkara yang biasa berlaku bagi mana-mana pasukan promosi filem,” katanya dalam satu kenyataan media.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang mencemar duli menghadiri sesi pertemuan tersebut.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail yang bersama-sama meraikan delegasi filem aksi tempatan itu.

“Layanan yang diberikan oleh Duli-Duli Tuanku sangat istimewa dan kami amat menjunjung kasih atas kesempatan yang amat bermakna ini,” tambahnya.

Rombongan produksi tersebut kini dalam sesi promosi yang berlangsung dari 4 hingga 6 Julai di Kedah dan Pulau Pinang, termasuk program Santai Anak Utara di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Auto City Carnival di Juru.

Filem Impak Maksima 2 dijadualkan bakal ditayangkan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 17 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN