KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Ungu, Pasha, terkejut ketika mendengar seorang peminat menjerit ‘I Love You’ menyebabkannya tersilap menyanyikan beberapa patah perkataan dalam lirik lagu ‘Saat Bahagia’.
Ketika itu, Pasha turun menyantuni peminat yang hadir ke Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu sambil bernyanyi sebelum disapa seorang peminat bertudung yang meluahkan perasaan sayang.
“Saya sempat terkejut ada wanita bertudung jerit ‘I Love You’, maaf ya saya terkejut sampai tersilap nyanyi. Cantik pula wanita itu.
“Tolong saya mohon, kalau mahu jerit begitu pastikan saya sudah di atas pentas ya agar tidak salah lirik. Takut iman saya tak kuat,” katanya disambut gelak dan tepukan gemuruh peminat.
Bukan itu sahaja, jelas Pasha dia teruja kembali beraksi ke Malaysia selepas pulang menunaikan haji, baru-baru ini.
“Assalamualaikum. Saya perlu beri salam dulu sebab maklumlah baru pulang haji. Semalam dari Saudi saya dimaklumkan jemaah haji terbaik datang dari Malaysia. Saya perlu perlu ucap tahniah jika ia benar.
“Terima kasih penganjur memberi kepercayaan kepada Ungu, terima kasih juga kawan-kawan Malaysia yang masih sudi datang hingga tiket habis malam ini,” ujar Pasha.
Ungu ditemui Utusan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Konsert malam tadi diserikan dengan kehadiran penyanyi jemputan, Ayda Jebat yang turut berduet menyanyikan dua buah lagu Tercipta Untukku dan Bismillah Cinta bersama Pasha.
Dalam pada itu, Ungu turut memberikan penghormatan kepada pemain keyboard, Gatot Kies atau Mas Gatz yang meninggal dunia dua bulan lalu menerusi sesi tribute.
Dalam sesi itu, Ungu memainkan video hitam putih khas Mas Gatz sambil menyanyikan lagu Bila Tiba dan Andai Ku Tahu.
Hadiah Pasangan Terbaik juga dipilih secara rawak dalam kalangan pengunjung. Pasangan bertuah menerima sejambak bunga mawar dan nyanyian lagu Ku Ingin Selamanya oleh Ungu.
Ungu dianggotai Pasha (Vokalis), Enda (Gitar), Oncy (Gitar), Makki (Bes) dan Rowman (Dram).
Menerusi konsert yang berlangsung dengan sederhana malam tadi, Ungu menyanyikan 17 lagu popular mereka antaranya Cinta Dalam Hati, Aku Tahu, Tercipta Untukku, Kekasih Gelapku dan Demi Waktu.
Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu yang menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), diketuai JP Denny dari Indonesia sebagai Pengarah Muzik dengan iringan 14 pemuzik Malaysia. -UTUSAN