MELAKA: Pasangan kekasih yang disyaki pengedar dadah yang nekad melarikan diri sejauh 13 kilometer (km) sebelum diberkas polis petang semalam, direman enam hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 26 tahun dan wanita berumur 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan di Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai selepas dikejar dari Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan kira-kira pukul 6 petang.
“Ketika dikejar, suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi bertindak memandu secara melulu, tidak berhenti di lampu isyarat dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Setiba di lokasi tangkapan, suspek turut mengundurkan kenderaan sebelum melanggar anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berpangkat lans koperal hingga mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Christopher berkata, pemeriksaan lanjut ke atas pasangan itu menemukan dua peket plastik lutsinar dipercayai heroin dan satu alat penimbang dalam kenderaan.
Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu (methamphetamine).
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan. – UTUSAN