KUALA LUMPUR: Pas menjadikan prinsip Islam dan Perlembagaan Persekutuan menjadi prinsip perjuangan parti itu sejak dahulu lagi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prinsip itu menjadi teras kepada pendirian parti dalam memastikan keharmonian kaum dan kelangsungan negara majmuk negara ini terus terpelihara.
“Perkara ini turut ditegaskan semasa pertemuan bersama Dr. P. Ramasamy di Parlimen hari ini.
“Beliau bersama delegasi hadir bagi mengenali Pas dengan lebih dekat,” katanya dalam Facebook.
Menurut Tuan Ibrahim, pelbagai isu berkaitan masyarakat India turut disentuh dalam pertemuan berkenaan termasuk hal pendidikan serta tahap kesedaran politik dalam kalangan kaum itu.
“Kami menerima pandangan dan suara hati beliau dengan terbuka. Pas sentiasa terbuka untuk berdialog dan menerangkan keindahan Islam kepada sesiapa sahaja, demi membina persefahaman dan toleransi antara kaum.
“Dialog seperti ini sebagai satu pendekatan yang konstruktif dan perlu diteruskan bagi membina jalinan yang lebih erat antara rakyat pelbagai latar belakang,” katanya.
Sebelum ini, 11 ketua parti pembangkang telah mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan persetujuan awal mengenai penubuhan barisan politik yang merentasi pelbagai parti pembangkang bagi memperkukuh suara semak dan imbang di dalam serta luar Parlimen.
“Barisan rentas parti ini dicadangkan agar semua parti pembangkang dapat mengambil pendirian bersama dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
“Pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang akan datang,” katanya.-UTUSAN










