JOHOR BAHRU: Seorang mangsa helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam, Konstabel Devendran Raja Gopal, 30, masih ditidurkan kerana paru-parunya dijangkiti kuman akibat dimasuki air.
Abang mangsa, Navindran, 39, memberitahu, doktor memaklumkan adiknya itu masih ditidurkan kerana jangkitan kuman dalam paru-paru
“Mungkin disebabkan dia lemas ketika kejadian, mereka tidak menjanjikan apa-apa,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Navindran menerima panggilan daripada Ketua Balai Polis Tanjung Kupang memaklumkan nahas yang menimpa adiknya itu.
“Saya terkejut, tidak sangka kejadian seperti ini menimpa adik bongsu saya. Devendran memang minat untuk menjadi polis dan dia baharu berkhidmat setahun lebih.
Navindran yang juga anggota polis dan kini berkhidmat di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut meminta rakyat agar mendoakan keselamatan adik bongsunya itu.
“Kita terima perkara ini kerana ia adalah satu kemalangan. Apa pun saya minta doakan untuk adik saya agar dia cepat sembuh,” katanya.
Sementara itu, Lizah Omar, 46, memberitahu, adik iparnya, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, 46, sudah berkhidmat dalam polis sejak bujang dan telah lama menjadi juruterbang helikopter, namun kali pertama dia terlibat kemalangan.
“Keadaan dia hari ini lebih baik berbanding semalam, alhamdulillah sudah boleh berbual dan minta kuih untuk dimakan. Dia patah tulang rusuk dan cedera di kepala dan pinggang,” katanya.
Menurutnya Faizul merancang untuk menghantar anak sulungnya mendaftarkan diri di sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu, Ahad ini. – UTUSAN










