PARLIMEN: Tiga kerangka baharu kawal subsidi minyak masak

PARLIMEN: Tiga kerangka baharu kawal subsidi minyak masak

GAMBAR JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga kerangka baharu diperkenalkan bagi memperkukuh mekanisme kawalan harga dan pengurusan subsidi minyak masak bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tiga kerangka itu merangkumi penetapan dasar yang jelas berdasarkan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan, pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan serta pemantapan pengurusan risiko ketirisan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia yang layak dan tidak terus dibolosi oleh aktiviti penyelewengan serta penyeludupan.

“KPDN komited melaksanakan pembaharuan menyeluruh dan tegas dalam usaha membanteras ketirisan subsidi kerajaan,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai langkah selari dengan usaha pemantauan lebih berkesan, KPDN telah membangunkan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sejak 2023 dan digunakan sepenuhnya mulai 2024.

Sistem digital itu berfungsi memantau keseluruhan rantaian bekalan minyak masak bersubsidi bermula dari syarikat pembungkus, pengedar, hingga ke peruncit termasuk semakan terhadap tuntutan subsidi.

Tambah Armizan, kementerian juga melaksanakan Aplikasi Mudah Alih eCOSS yang mula dirintis sejak Mei 2025.

“Melalui aplikasi ini, transaksi pembelian minyak masak di peringkat pengguna akan direkodkan secara automatik.

“KPDN boleh mengakses data jumlah penjualan oleh peruncit dan jumlah pembelian pengguna, manakala maklumat pembeli akan diselaraskan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang menerima subsidi,” katanya.

Langkah ini, katanya, turut membolehkan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan melebihi had yang ditetapkan serta mengekang pembelian oleh warga asing.

Program perintis penggunaan aplikasi itu kini sedang dilaksanakan melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM), bermula di negeri Johor dengan sokongan penuh kerajaan negeri.

Sebelum ini media melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan ketirisan membabitkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan melibatkan nilai audit mencecah RM48.87 bilion.

Laporan itu turut menegur pengurusan subsidi minyak masak dan kelemahan dalam kaedah perolehan tender baharu secara “Pre-Qualification Terpilih” yang didapati membuka ruang kepada manipulasi serta melambatkan proses perolehan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN