PARLIMEN: RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama

PARLIMEN: RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan kes kebankrapan antarabangsa dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu dijadual berlangsung dalam sesi persidangan Parlimen kali ini.

RUU tersebut antara lain mengandungi peruntukan berkaitan akses wakil dan pemiutang asing ke mahkamah Malaysia dalam kes melibatkan insolvensi rentas sempadan.

Berdasarkan draf RUU yang dibentangkan, ia turut merangkumi mekanisme pengiktirafan prosiding insolvensi asing, pemberian relif berkaitan pengiktirafan tersebut, kerjasama antara mahkamah tempatan dan wakil asing serta penyelarasan prosiding serentak dalam pelbagai bidang kuasa.

“RUU ini berteraskan prinsip Undang-Undang Model mengenai Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL),” menurut naskhah tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan RUU itu dijangka akan membabitkan perbelanjaan kewangan tambahan yang jumlahnya belum dapat ditentukan pada peringkat ini.

Media sebelum ini melaporkan, RUU berkenaan bagi membentuk undang-undang yang dapat membantu syarikat komersial di Malaysia menuntut aset mereka yang berada di luar negara dalam usaha menyelamatkan syarikat terbabit jika dikenakan tindakan bankrap.

Setakat ini, 60 negara sudah mengguna pakai MLCBI yang digubal pada 1997 oleh UNCITRAL, termasuk Australia, United Kingdom, Arab Saudi dan New Zealand, manakala Malaysia negara keempat di ASEAN yang akan memiliki perundangan sama selepas Singapura, Myanmar dan Filipina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN