PARLIMEN: Pindaan Akta Racun bantu kawal selia bahan psikotropik

PARLIMEN: Pindaan Akta Racun bantu kawal selia bahan psikotropik

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Racun 1952 (Akta 366) merupakan langkah signifikan kerajaan dalam memperkukuh kawal selia serta penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pindaan itu amat diperlukan susulan peningkatan mendadak kes penyalahgunaan bahan kawalan seperti syabu dan ketum yang boleh mengancam kesihatan awam serta menjadi isu keselamatan negara.

“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 4,737 kes pada 2021 kepada 7,395 kes pada 2024,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, pindaan berkenaan turut memperluaskan kuasa penguatkuasaan kepada semua pegawai polis tanpa had pangkat berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan pegawai berpangkat Inspektor ke atas.

Katanya, langkah itu diyakini dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti makmal haram, kelab malam dan kawasan industri terbiar.

“Menteri Kesihatan juga diberikan kuasa untuk melantik pegawai lain sebagai ‘pegawai diberi kuasa’ termasuk daripada agensi luar bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan terutama di lokasi yang berdepan kekangan sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, Akta Racun 1952 yang kini mengawal 1,780 jenis racun dan 80 bahan psikotropik perlu ditambah baik seiring dengan ancaman semasa seperti penyalahgunaan fisiodoperins dalam penghasilan syabu serta campuran ketum dengan ubat batuk yang semakin berleluasa.

“Dengan dos penggunaan syabu sekitar 5 mg hingga 60 mg bagi setiap penagih, hanya satu kilogram syabu boleh disalahgunakan oleh sehingga 200,000 penagih,” katanya.

Kata beliau lagi, ketum yang secara tradisional digunakan untuk tujuan kesihatan kini telah disalahgunakan secara meluas, terutamanya dalam bentuk air rebusan atau dicampur dengan bahan lain seperti ubat batuk sehingga menimbulkan kebimbangan sosial dan kesihatan awam.

RUU berkenaan mengandungi lima fasal utama antaranya menyemak takrif ‘pegawai diberi kuasa’ dan ‘premis’, memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik pegawai penguat kuasa tambahan, serta menyelaraskan tafsiran dalam keseluruhan akta bagi memastikan penguatkuasaan lebih konsisten dan berkesan.

“Pindaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi rakyat dan membendung penyalahgunaan bahan terlarang menerusi perundangan yang lebih responsif, tegas dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN