KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bakal ditambah baik melalui pelaksanaan Kursus Am Guaman (CBC) atau Peperiksaan Am Guaman (CBE) yang dirangka lebih komprehensif dan setanding dengan piawaian antarabangsa seperti Kursus Latihan Guaman di United Kingdom (UK).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah tersebut sedang dilaksanakan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (Lembaga Kelayakan) bagi memastikan latihan guaman di negara ini lebih holistik dan bersifat praktikal.
“Peperiksaan CLP yang kini berbentuk penilaian bertulis sepenuhnya akan ditambah baik dengan komponen baharu yang menekankan aspek kemahiran dan latihan praktikal seperti perbicaraan jenayah, advokasi, etika profesional, penulisan nasihat guaman dan kemahiran komunikasi.
“Banyak aspek perlu diperhalusi sebelum pelaksanaan CBC atau CBE ini termasuk kandungan kurikulum, kaedah penilaian, penyedia kursus, tenaga pengajar, pengurusan pentadbiran serta implikasi kewangan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH–Sungai Siput) yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam menambah baik peperiksaan CLP dan status pelaksanaan CBC atau CBE.
Menurut Azalina, pada 8 Oktober 2024, Lembaga Kelayakan telah menubuhkan Jawatankuasa Kurikulum CBC yang dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Peguam untuk meneliti silibus dan struktur CBC.
“Jawatankuasa ini telah bersidang pada 28 Februari dan 2 Julai 2025 sebelum menubuhkan Pasukan Petugas CBC bagi menjalankan kajian serta membangunkan kurikulum, pedagogi dan standard kursus.
“Pada 23 Julai 2025, Lembaga Kelayakan bersetuju dengan cadangan jawatankuasa tersebut untuk menubuhkan CBC Taskforce yang terdiri daripada pakar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil Majlis Peguam,” ujarnya.
Pasukan Petugas CBC dijadual memulakan kajian dan pembangunan kurikulum bermula 1 Ogos 2025 dan dijangka disiapkan dalam tempoh lapan bulan iaitu sehingga 31 Mac 2026.
Tambah beliau, satu lawatan kerja ke UK telah diadakan dari 5 hingga 10 Julai 2025 bagi mendapatkan input dan amalan terbaik pelaksanaan Bar Training Course.
“Antara institusi yang dilibatkan termasuk Bar Standards Board, Solicitors Regulation Authority, Legal Services Board, University of Law, City Law School dan Lincoln’s Inn.
“Mereka turut berkongsi bagaimana pengawalseliaan dijalankan serta kaedah penyampaian kurikulum dan penilaian pelajar. Sesi konsultasi lanjut bersama pihak berkepentingan juga akan diadakan untuk merangka pelan pelaksanaan CBC atau CBE di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










