KUALA LUMPUR: Jumlah belia berumur antara 15 hingga 30 tahun yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan terlarang menunjukkan peningkatan sebanyak 19.3 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 55,369 orang belia dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang pada tahun 2024 berbanding 46,401 orang pada tahun sebelumnya.
“Walaupun jumlah belia terlibat meningkat hampir 8,968 orang, peratusan mereka daripada keseluruhan jumlah penagih menurun sedikit daripada 31.9 peratus (2023) kepada 28.7 peratus (2024),” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Mutallib (PN-Maran).
Menurut beliau, pecahan mengikut kaum menunjukkan belia Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 76 peratus daripada keseluruhan kes pada kedua-dua tahun.
Jumlah ini meningkat daripada 35,280 orang (2023) kepada 42,076 orang (2024) iaitu peningkatan sebanyak 6,796 orang atau 19.3 peratus.
Tambahnya, belia kaum India mencatatkan peningkatan tertinggi secara relatif iaitu sebanyak 34.5 peratus, meningkat daripada 2,937 orang kepada 3,951 orang.
“Belia kaum Cina turut menunjukkan peningkatan 19.3 peratus iaitu daripada 2,312 orang (2023) kepada 2,758 orang (2024), manakala belia Pribumi Sabah dan Sarawak masing-masing meningkat 8.7 dan 8.9 peratus.
“Kategori lain-lain pula mencatatkan peningkatan relatif tertinggi iaitu 40.3 peratus, namun jumlahnya kecil iaitu dari 623 orang (2023) kepada 874 orang (2024),” jelasnya.
Mengulas faktor trend tersebut, Hannah berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati tiga faktor utama yang mendorong belia mengambil dadah ialah sifat ingin mencuba (30.1 peratus), tekanan hidup (20.9 peratus) dan pengaruh rakan sebaya (18.9 peratus).
Hannah berkata, kementerian komited untuk membendung masalah itu melalui pendekatan pencegahan berasaskan komuniti serta memperkasakan program intervensi awal kepada belia yang terdedah dengan risiko penyalahgunaan bahan. – UTUSAN










