KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga kementerian dan agensi berkaitan bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung beberapa isu tular dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 termasuk melibatkan perolehan ladang sawit, subsidi minyak masak dan tata kelola tender.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat susulan taklimat yang diberikan oleh Ketua Audit Negara dalam sesi PAC hari ini membabitkan pelbagai penemuan berkaitan ketidakteraturan serius dan kelemahan tatakelola dalam pelaksanaan projek kerajaan.
“PAC telah memutuskan untuk memanggil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta FELCRA Berhad berhubung pengurusan perolehan ladang sawit oleh FELCRA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memberikan penjelasan mengenai kawalan harga dan subsidi minyak masak.
“Selain itu, PAC akan memanggil Kementerian Kewangan bagi memberi taklimat tentang tatakelola Jawatankuasa Perolehan Tender kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, PAC juga akan membentangkan dua Penyata Tindakan Susulan kementerian yang dijadualkan pada 28 dan 29 Julai 2025 di Parlimen iaitu tindakan susulan Kementerian Dalam Negeri berhubung syor-syor PAC mengenai perolehan Sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) (DR.4/2025).
Selain itu, penyata terhadap tindakan susulan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Air Negeri Sabah mengenai pengurusan projek bekalan air luar bandar di Sarawak dan Sabah (DR.3/2025).
Mengulas LKAN 2/2025, beliau berkata, laporan tersebut melibatkan pengauditan terhadap tujuh kementerian dengan lima laporan utama dibentangkan dan 22 syor audit dikemukakan.
“PAC akan memberi tumpuan kepada tajuk-tajuk yang mempunyai unsur 3P iaitu Penyelewengan, Penyalahgunaan Kuasa dan Pembaziran serta 1K iaitu Ketirisan,” katanya. – UTUSAN











