KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya belum bercadang untuk menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehingga kini kementerian juga belum mengemukakan sebarang permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut.
“Setakat ini, tiada cadangan untuk meningkatkan nilai ambang kepada RM3 juta dan kita tidak nampak perkara itu akan berlaku. Nilai ambang RM1.5 juta akan kekal.
“Perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan sudah tentu mereka memahami keperluan mengenainya.
“Namun, Kementerian Kerja Raya tidak membuat sebarang permintaan untuk menaikkan nilai ambang seperti dibangkitkan Yang Berhormat,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan, sewaan dan pajakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, mana-mana kontraktor yang kerap dikenakan denda lewat siap projek (LAD) berikutan permohonan lanjutan masa (EOT) berisiko tinggi untuk tidak lagi dianugerahkan sebarang projek daripada kerajaan.
“Bagi projek yang lewat siap, kita memang tidak gemar dengan EOT, sebaliknya kita lebih suka kontraktor yang mendahului jadual pelaksanaan (Ahead of Time).
“Jika sesebuah syarikat menerima dua atau tiga EOT, mereka akan dikenakan denda LAD yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit sehari bergantung kepada jumlah hari kelewatan.
“Denda ini menjadi satu bentuk penalti dan jika kerap berlaku, ia akan menjadi pertimbangan kerajaan untuk tidak melantik semula syarikat tersebut bagi projek baharu,” katanya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan pelaksanaan projek pembinaan mengikut jadual agar tidak membebankan rakyat dan perbelanjaan negara. – UTUSAN










