KUALA LUMPUR: Malaysia komited memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dengan memfokuskan kepada peningkatan perdagangan intra-ASEAN sebagai langkah strategik menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam landskap dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu, adalah penting untuk ASEAN memperkukuh ekosistem ekonominya sendiri agar tidak terlalu bergantung kepada rakan dagang di luar blok.
“Kita (ASEAN) tidak boleh terlalu bergantung kepada negara-negara tradisi sebagai rakan dagang. Dagangan antara negara-negara ASEAN masih rendah, iaitu kurang daripada 25 peratus,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai inisiatif utama yang telah dan akan dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan agenda ASEAN pasca kepengerusian Malaysia.
Tambah beliau, Malaysia kini sedang memperjuangkan pelaksanaan Visi ASEAN 2045 yang memfokuskan masa depan bersama dan mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap kuasa luar.
“Kita sudah ada kekuatan politik. Tetapi dari segi peraturan ekonomi, kita terlalu bergantung kepada negara luar. Kalau berlaku sesuatu di negara rakan dagang utama, ekonomi kita turut terjejas. Sebab itu kita perlu cari pasaran baharu dan memperkasakan dagangan sesama negara ASEAN,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kejayaan Malaysia diterima sebagai rakan dalam blok ekonomi BRICS merupakan satu langkah besar kerana ia mewakili kuasa ekonomi dunia yang sedang berkembang pesat.
Bagi memperkukuh hubungan ekonomi serantau dan antarabangsa, ASEAN juga telah memulakan langkah kerjasama dengan negara-negara Teluk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, selain menggabungkan kerjasama tiga hala antara ASEAN, GCC dan China. – UTUSAN











