KUALA LUMPUR: Sebanyak 144 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 91,206 unit rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada kerajaan negeri dengan 89,073 unit atau 98 peratus telah didiami setakat 30 Jun 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini terdapat 24 projek PPR membabitkan 13,293 unit rumah di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merangkumi tiga skim utama iaitu PPR Dimiliki, PPR Disewa dan PPR Sewa Untuk Milik (Rent-To-Own, RTO).
Katanya, kerajaan komited memastikan rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memiliki akses kepada kediaman selesa dan berkualiti melalui pelaksanaan program PPR yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Skim RTO membolehkan penyewa memiliki unit yang didiami selepas tempoh sewaan selama 20 tahun, tertakluk kepada kelayakan kewangan dan rekod bayaran.
“Penawaran pemilikan boleh dibuat seawal tahun keenam, ke-11 atau ke-16 dengan mengambil kira jumlah bayaran yang telah dijelaskan, manakala peserta yang tidak berkemampuan hanya boleh memiliki rumah tersebut selepas menjelaskan sepenuhnya sewa selama 20 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (PH–Hulu Langat) berhubung statistik penerima skim PPR mengikut kaum dari tahun 2015 hingga 2025 serta keperluan memberikan lebih kuasa kepada badan pengurusan bersama (JMB).
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT kini sedang membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) bagi menambah baik proses permohonan, pembayaran serta pelaporan berkaitan unit PPR secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, statistik pengisian unit PPR mengikut kaum belum dapat dijana dengan tepat kerana majoriti PPR berada di bawah kendalian kerajaan negeri.
“Data penuh hanya boleh diperoleh apabila sistem SPRN siap sepenuhnya dan digunapakai di semua negeri menjelang tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata, bagi projek PPR di bawah seliaan KPKT, jumlah penerima pada tahun 2022 adalah seramai 311 orang, meningkat kepada 1,668 orang pada tahun 2023 dan 934 orang pada tahun 2024.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, sebanyak 246 unit telah diisi, dan beberapa lagi proses pengisian dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN