KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pemindaan kepada Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi membolehkan pelaksanaan strategi menyeluruh bagi mengawal kos penjagaan kesihatan dan insurans perubatan swasta melalui kerangka RESET.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara inisiatif di bawah strategi RESET adalah pelaksanaan mekanisme pembayaran berdasarkan Kelompok Berkaitan Diagnosis (DRG) yang akan memerlukan perkongsian maklumat klinikal dan kewangan minimum antara penyedia perkhidmatan kesihatan dan pihak pembayar.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam proses meneliti beberapa akta berkaitan untuk menyelaras usaha menangani inflasi perubatan.
“Kerajaan akan terus mempertimbangkan pemindaan kepada undang-undang lain di bawah bidang kuasa kementerian sekiranya diperlukan bagi memperkasa keseluruhan strategi RESET,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) mengenai pelaksanaan strategi RESET dan undang-undang berkaitan yang bakal dipinda bagi menyokong inisiatif tersebut.
Menurut Amir Hamzah, RESET merupakan kerangka strategik yang dibangunkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MOF) dan KKM bagi mengawal peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans perubatan swasta.
Strategi tersebut merangkumi lima teras utama dan 11 inisiatif antaranya, pameran harga ubat-ubatan dan penerbitan julat harga perkhidmatan kesihatan lazim serta pembangunan mekanisme pemantauan inflasi perubatan dan standard pengumpulan data kos penjagaan kesihatan swasta.
“Selain itu, peluasan akses kepada hospital mampu milik dan penglibatan lebih banyak hospital bukan berasaskan keuntungan melalui program Rakan KKM.
“Peralihan kepada sistem pembayaran berasaskan DRG untuk memastikan kos perkhidmatan kesihatan dinilai secara berasaskan nilai dan hasil rawatan pesakit,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan RESET dipantau oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan.
“Jawatankuasa ini turut melibatkan majlis perundingan dengan penyertaan pihak berkepentingan utama daripada industri penjagaan kesihatan swasta termasuk wakil hospital, profesional kesihatan, penyedia insurans dan takaful, kumpulan pengguna serta akademik,” katanya.
Sesi pertama jawatankuasa tersebut telah diadakan pada 24 Jun 2025. – UTUSAN










